Thursday, July 25, 2019

Bagaimana Piramid Mesir Dibina?! [Video]

Teori : Bagaimana Piramid Mesir Dibina

Mesir merupakan sebuah negara yang kaya dengan nilai sejarahnya dari tamadun Mesir Purba hinggalah sejarah perjuangan para anbiya yang pernah berada di situ seperti Nabi Yusuf, Nabi Harun dan Nabi Musa a.s.

Dan antara monumen yang menjadi saksi kepada lipatan sejarah Mesir ialah piramid dengan Piramid Agung Giza merupakan sebahagian daripada Tujuh Keajaiban Dunia Purba yang terus bertahan sehingga hari ini. Tetapi bagaimana ia dibina dan mengapa ia menjadi kegilaan geng teori konspirasi termasuk geng teori angkasawan purba (ancient astronauts)?

Cukai dan pekerja

Sebelum kita melihat bagaimana ia dibina, kita perlu tahu bagaimana tamadun Mesir Purba membiayai projek berskala mega ini. Semasa era Kerajaan Lama (Old Kingdom) yang memerintah selama 500 tahun dari 2686 hingga 2181 SM, ekonomi Mesir Purba ketika itu masih lagi berorientasikan pertanian dan bergantung kepada Sungai Nil. 

Kawasan tanah di sepanjang tebingnya amat subur untuk dijadikan sebagai kawasan pertanian dengan sungai menjadi pilihan mengangkut komoditi ke seluruh negara. Kebanyakan tanah ini dikawal oleh estet-estet dengan pemilik-pemiliknya sama ada pegawai-pegawai istana, anggota kerabat diraja atau kuil Mesir Purba. 

Estet-estet ini saling berkait antara satu sama lain dan merupakan sebahagian daripada rangkaian pengedaran yang melaporkan terus kepada Firaun (pemerintah tamadun Mesir Purba) dan bergantung kepada pusat pentadbiran kerajaan itu.

Umumnya, estet-estet dan bandar-bandar Mesir Purba ketika itu merupakan unit asas organisasi sosial dan ekonomi. Kerajaan ketika itu tidak mengenakan cukai kepada individu tetapi kepada estet-estet yang ada. Perkara tersebut tidak dibuat kerana mengenakan cukai terhadap individu boleh membebankan kerajaan dalam merealisasikan usaha itu ke seluruh negara. 

Justeru, tanggungjawab membayar cukai diletakkan di bahu ketua estet untuk membawa hasil pendapatan masuk ke kantung kewangan kerajaan dan memastikan sentiasa ada lebihan sebagai bayaran cukai. Jika mereka gagal berbuat demikian, maka bersedialah berhadapan dengan hukuman yang dikenakan Firaun ke atas mereka.


Untuk mengira berapa banyak pendapatan dan cukai yang harus dibayar kepada pihak kerajaan, kerajaan Mesir Purba mengadakan bancian secara berkala. Walaupun individu tidak dikenakan cukai, barang-barang yang boleh dicukaikan seperti haiwan ternakan dan produk pertanian dikenakan cukai. 

Kerajaan juga menerima cukai dalam bentuk lain seperti hasil kraf tangan dan fabrik yang bermutu. Semua hasil ini akan disimpan di stor-stor sebelum ia diagihkan sama ada ke estet-estet atau projek-projek yang diusahakan ketika itu termasuk pembinaan piramid.

Penerimaan hasil sebegini menjadikan ketua-ketua estet kaya-raya tetapi itu tidak bererti jika mereka gagal menunaikan tanggungjawab estet dan terhadap pihak kerajaan. Antara peranan estet semasa era Mesir Purba ialah memastikan estet sentiasa berjalan lancar dan kebajikan pekerja-pekerja yang dikerah untuk projek pembinaan sentiasa terjaga termasuk diberi makanan mencukupi. Buktinya di Giza, kajian arkeologi mendapati pekerja-pekerja yang terlibat dengan projek pembinaan Piramid Agung Giza diberi makanan yang bersifat mewah seperti daging, ikan dan bir. 

Reka bentuk dan pembinaan

Sekarang, mari kita beralih kepada bagaimana piramid dibina. Seperti mana-mana jurutera dan pembina dalam sejarah, pembina piramid juga berdepan pelbagai cabaran dalam merealisasikan pembinaan piramid. 

Pada awalnya, ia berbentuk segi empat tepat (mastaba) yang boleh dilihat pada makam-makam Firaun lebih 5,000 tahun lalu berdasarkan pengamatan ahli arkeologi Sir Flinders Petrie. Tetapi semasa era pemerintahan Firaun Djoser (memerintah sekitar 2630 SM), sudah wujud kemajuan dari segi teknik pembinaan piramid. 

Makam baginda di Saqqara yang direka oleh Imhotep pada mulanya berbentuk mastaba biasa sebelum ia dibina menjadi piramid bertangga enam lapis dengan terowong-terowong dan ruang bawah tanah. Piramid ini menjadi pilihan pemakaman Firaun lain selepas baginda tetapi banyak yang tidak siap berikutan tempoh pemerintahan mereka yang singkat.

Teknik pembinaan piramid sekali lagi mencapai kemajuan semasa era Firaun Sneferu (memerintah sekitar 2575 SM) di mana era tersebut menyaksikan pembinaan tiga buah piramid. Namun, piramid yang dibina bukanlah piramid bertangga tetapi model pertama piramid permukaan licin sebagai acuan kepada pembinaan piramid di Giza. 


Tetapi disebabkan kesilapan arkitek baginda, salah satu daripada piramid di Dahshur itu dikenali sebagai piramid bengkok berikutan sudutnya yang diubah separuh jalan. Ramai pakar arkeologi menganggap ia satu kesilapan pembinaan. Kesilapan itu kemudiannya dibetulkan melalui pembinaan piramid kedua di lokasi sama yang dikenali sebagai Piramid Merah kerana mempunyai sudut yang tetap sekaligus menjadikannya sebagai piramid tulen yang pertama. Rekaan ini kemudiannya digunakan oleh putera Sneferu, Khufu untuk membina Piramid Agung di Giza Selalunya, tugas pembinaan projek mega terutama piramid diserahkan kepada seorang pegawai tinggi kerajaan untuk memantau proses pembinaan. Buktinya pada tahun 2010, satu dokumen papirus yang dijumpai di Wadi al-Jarf mendedahkan kekanda tiri Khufu, Ankhaf dilantik sebagai wazir dan ketua projek pembinaan diraja pada tahun ke-27 pemerintahan baginda. Tetapi penyelidik dan sejarawan berpandangan peranan tersebut digalas oleh Hemiunu yang bertanggungjawab memantau pembinaan piramid semasa tahun-tahun awal pemerintahan Khufu.

Usaha perancangan pembinaan bukan sekadar membabitkan proses pembinaan tetapi juga dari segi pemerolehan sumber bahan binaan dan bagaimana ia diangkut. Selain itu bagi memudahkan urusan pekerja dan pegawai yang memantau, sebuah bandar juga dibina di mana ia terdiri daripada jeti, kuil-kuil, berek tentera dan kawasan tanah perkuburan. Ini berdasarkan penemuan arkeologi membabitkan kuil-kuil dan kawasan perkuburan dipercayai kubur pekerja-pekerja pembinaan piramid berhampiran kawasan piramid. 

Tambah menakjubkan, orang Mesir Purba dilihat mampu mengatur kedudukan bangunan mereka ke arah utara sebenar, satu perkara yang membantu proses pembinaan piramid. Ini berdasarkan pengamatan jurutera Glen Dash yang mendapati piramid Khufu telah diatur ke arah utara sebenar dalam lingkungan 1/10 darjah. Ramai masih menggaru kepala bagaimana ia boleh dilakukan tetapi Dash membuat teori orang Mesir Purba menggunakan bintang lilit kutub seperti Polaris sebagai panduan dan garisan-garisan tali sebagai penanda untuk mendapatkan arah utara.

Kebanyakan batu yang dibawa untuk proses pembinaan piramid diambil dari kuari-kuari berbentuk ladam kuda yang terletak di selatan kawasan piramid. Untuk mengangkutnya sahaja memerlukan ia diletakkan di atas peluncur yang boleh ditolak atau ditarik oleh sekumpulan pekerja. Bagi membolehkan ia ditarik atau ditolak dengan mudah, pasir di bahagian hadapan peluncur akan disiram dengan air. 

Berdasarkan kajian sepasukan ahli fizik dari Universiti Amsterdam pada tahun 2014, ia bertujuan mengurangkan geseran dan melancarkan lagi pergerakan peluncur. Menurut Profesor Daniel Bohn, ketua pasukan penyelidikan kajian itu, membasahkan pasir di hadapan peluncur turut mengurangkan bilangan pekerja diperlukan untuk menarik atau menolak batu sampai ke tapak projek. Ini ditambah dengan pelbagai lukisan Mesir Purba di kuil-kuil yang menunjukkan pekerja membasahkan pasir di hadapan peluncur.

Kebanyakan pengkaji Mesir Purba bersetuju selepas batu-batu ini sampai di tapak projek, satu sistem tanjakan digunakan untuk membawa batu-batu naik ke atas. Namun, ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan mereka berkenaan reka bentuk tanjakan yang digunakan untuk mengangkut batu-batu seberat beberapa tan ke atas. Tidak banyak bukti tanjakan ini terselamat tetapi sudah ada pelbagai reka bentuk tanjakan yang dicadangkan sebagai reka bentuk tanjakan yang digunakan semasa pembinaan piramid. 

Tetapi pada tahun 2018, pasukan arkeologi dari Universiti Liverpool dan Institut Arkeologi Oriental Perancis menemui sisa sistem tanjakan dari sebuah kuari alabaster di Hatnub. Sistem tanjakan ini dikatakan sudah wujud semasa era pemerintahan Khufu. Menurut pengarah misi bersama Yannis Gourdon, sistem tanjakan ini diapit oleh dua tangga dengan banyak lubang tiang. Semasa batu ditarik keluar, ia akan ditarik di atas peluncur dengan pekerja-pekerja menariknya dengan tali pada tiang-tiang kayu dari cerun yang mempunyai kecuraman 20% atau lebih.


Namun menurut Profesor Kara Cooney dari Universiti California, Los Angeles, penemuan tersebut masih belum boleh dijadikan sebagai bukti sistem ini merupakan sistem sama digunakan untuk pembinaan piramid di Giza. Ini kerana tidak seperti batu-batu lain, batu alabaster bersifat lembut dan ringan sementara batu-batu yang digunakan untuk piramid seberat beberapa tan dan sukar untuk dipotong. 

Menurut beliau, pengkaji Mesir Purba masih menggaru kepala mekanisme yang digunakan untuk memotong batu keras seperti granit dan bagaimana batu-batu ini diangkat dan disusun pada piramid. Kebanyakan pakar membuat teori tanjakan yang digunakan sama ada tanjakan lurus, tanjakan yang dilengkungkan sepanjang dinding atau tanjakan yang dibina dalam piramid itu sendiri.

Yang pasti, tiga piramid di Giza ini terus menarik perhatian pengunjung sehingga hari ini. Piramid pertama ialah Piramid Khufu yang berukuran 147 meter tinggi dan setiap sisi berukuran 230 meter, menjadikan ia piramid terbesar di dunia. Bersebelahan piramid ini ialah tiga piramid kecil dengan salah satunya menempatkan makam bondanya, Ratu Hetespheres.

Piramid di tengah ialah Piramid Khafre yang dibina khas untuk putera Khufu, Firaun Khafre dengan satu patung terkenal dibina bersebelahannya. Patung manusia berbadan singa itu ialah Sphinx dan merupakan patung terbesar dunia purba dengan tinggi 66 kaki dan lebar 240 kaki. 

Pada tahun 1500 SM, Sphinx menjadi sembahan penduduk tempatan kerana menyangka ia merupakan jelmaan Dewa Horus. Piramid terakhir ialah piramid putera Khafre, Firaun Menkaure dengan ketinggian 218 kaki dan pelopor kepada piramid-piramid yang lebih kecil selepas itu.

Pembina piramid agung terakhir ialah Firaun Pepy II yang memerintah dari 2278 hingga 2184 SM. Semasa era pemerintahan baginda selama 94 tahun, kekayaan Kerajaan Lama semakin berkurangan, prestij Firaun semakin merosot dan kuasa pembesar istana semakin bertambah. Piramid terakhir yang dibina di Saqqara itu mempunyai ketinggian 172 kaki dan dilengkapkan dalam tempoh 30 tahun pertama pemerintahan baginda. 

Selepas Pepy II mangkat pada tahun 2184 SM, ia menandakan berakhirnya Kerajaan Lama dan permulaan tempoh kekacauan yang dikenali sebagai Tempoh Pertengahan Pertama (First Intermediate Period). Firaun-firaun lain kembali membina piramid sekitar abad ke-12 SM semasa fasa Kerajaan Tengah tetapi tidaklah sebesar skala era Kerajaan Lama.

“Makhluk asing pembina piramid? Mengarut!”


Piramid bukan saja menarik minat pengkaji sejarah tetapi juga golongan teori konspirasi. Golongan teori konspirasi terutama peminat teori angkasawan purba sentiasa menegaskan bahawa piramid dibina oleh makhluk asing dan bukannya orang Mesir Purba, satu teori yang menimbulkan kemarahan penduduk Mesir dan pengkaji Mesir Purba. 

Sesetengah cendekiawan berpandangan dakwaan sebegini timbul berikutan sisi perkauman yang terlalu menebal kerana enggan menerima hakikat ada sesetengah tamadun yang lebih maju berbanding orang Eropah dan menganggap ia boleh dibina dengan peralatan ringkas sebagai mustahil. 

Ini mendorong sesetengah mereka untuk ‘merosakkan’ sesetengah Tapak Warisan Dunia atas nama membuktikan teori mereka itu benar. Keadaan ini mengancam integriti struktur Tapak Warisan Dunia dan menyusahkan pihak kerajaan kerana perlu mengeluarkan sejumlah besar wang untuk memuliharanya. 

Contohnya pada tahun 2008, kerajaan pimpinan Hosni Mubarak terpaksa mengeluarkan belanja berjumlah $45 juta untuk memelihara dan memulihara piramid di Giza. Projek ini kemudiannya tertangguh akibat revolusi rakyat pada tahun 2011 sebelum disambung kembali pada tahun 2016 semasa pemerintahan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

Berikut beberapa teori konspirasi tentang piramid khas untuk tatapan anda:

1. Medium Edgar Cayce mendakwa piramid sebenarnya dibina oleh pelarian-pelarian yang terselamat dari kemusnahan Atlantis sekitar 10,500 SM, lapan milenia sebelum pembinaan Piramid Khufu. Menurut Cayce, ia dibina pada tahun 10,400 SM dan segala rekod yang menyatakan ia dibina pada tahun 2000 SM dan selepasnya dianggap satu pembohongan. 

Dia juga mendakwa pelarian-pelarian ini turut membina sebuah dewan rekod bersebelahan piramid (dipercayai di bawah Sphinx) yang mengandungi pelbagai rahsia tentang Atlantis dan meramalkan ia akan didedahkan dalam 20 tahun terakhir abad ke-20. Malangnya, ramalan Cayce sampai hari ini masih tidak kesampaian.

2. Bagi yang suka menonton Ancient Aliens, pasti sudah masak dengan panel seperti Erich von Daniken, Giorgio Tsoukalos dan David Childress. Ada saja teori yang tidak masuk akal berkenaan teori angkasawan purba mereka. 

Dalam bukunya Chariots of the Gods, Daniken menceritakan pada satu masa dahulu, bumi dilawati oleh makhluk asing di mana mereka disembah seperti dewa-dewi, bertanggungjawab membina monumen-monumen termasuk piramid dan agama atau mitos sesebuah bangsa dikatakan memori kepada lawatan mereka ini. 

Dalam kes piramid, dia mendakwa piramid sebenarnya mengambil masa 664 tahun untuk disiapkan tetapi tidak menyatakan bukti bagaimana dia boleh mengetahui tempoh tersebut. Walaupun dakwaan tersebut ditolak ramai pihak termasuk komuniti saintifik, dakwaan ini masih bertahan sehingga hari ini.

3. Pada tahun 60-an dan 70-an, wujud satu kegilaan yang mendakwa piramid mempunyai kuasa luar biasa termasuk mengekalkan kesegaran susu dan mengembalikan ketajaman pisau cukur. Dua eksperimen ini dilakukan oleh seorang jurutera Czech bernama Karel Dribal dan sebaik diketahui, menjadi obsesi ramai orang ketika itu. Dua eksperimen ini kemudiannya diuji dalam rancangan Mythbusters dan selepas eksperimen, kesemua hos membuat kesimpulan kuasa piramid yang heboh diperkatakan sebagai palsu.


RUJUKAN:

1. Winkler, Andreas. (2018). The economy of Ancient Egypt laid the groundwork for building the pyramids. Quartz. https://qz.com/africa/1478773/the-economy-of-ancient-egypt-led-to-building-the-pyramids/

2. Little, Becky. (2018). How Did Egyptians Build the Pyramids? Ancient Ramp Find Deepens Mystery. History. https://www.history.com/news/ancient-egypt-pyramid-ramp-discovery


4. Benoit, Julien. (2017). Outlandish theories that aliens built the pyramids are rooted in racism. Quartz. https://qz.com/africa/1080076/racism-is-behind-outlandish-theories-about-africas-ancient-architecture/

5. Jackson, Kevin. (2011). A Short History of Pyramidology. BBC. http://www.bbc.co.uk/history/ancient/egyptians/pyramidology_01.shtml


ulasan ustaz Auni tentang Piramid: 

Wednesday, July 24, 2019

Petua Hilangkan Batuk

Secara umumnya, batuk merupakan salah satu perkara biasa yang terjadi di kalangan manusia. Batuk juga boleh menyebabkan kahak pada tekak anda dapat dikeluarkan dengan lebih mudah. Walau bagaimanapun batuk yang berpanjangan adalah amat bahaya kerana boleh menjadi gejala yang dak sihat seper alahan, jangkitan virus serta jangkitan bakteria. 

Keadaan menjadi tidak seronok dan selesa apabila kita mengalami batuk yang berterusan. Bayangkan ketika anda berada didalam bilik kuliah/mesyuarat yang tenang dan anda batuk secara berterusan, ini boleh menyebabkan gangguan kepada orang lain dan tidak memberi keselesaan pada diri anda. 

Bagi yang mempunyai masalah batuk, boleh mencuba petua tradisional ini dengan hanya menggunakan bahan asas yang ada dirumah anda. Mungkin ada dikalangan anda yang pernah mencuba dan menggunakan petua-petua ini.


MADU




Madu merupakan satu manisan atau herba yang baik untuk orang yang mengalami sakit tekak. Menurut satu kajian, madu boleh melegakan batuk lebih berkesan berbanding ubat batuk yang mengandungi dextromethorphan (DM) iaitu penahan batuk. Anda boleh membuat ramuan sendiri di rumah dengan mencampurkan 2 sudu teh madu bersama dengan air suam dan perahan lemon. Madu juga mampu untuk menenangkan manakala jus lemon membantu dari berlaku kesesakan pada rongga. Anda juga boleh memakan madu itu dengan perahan limau nipis.


HALIA


Halia dipercayai mempunyai khasiat membasmi kuman dan membuang angin yang berada didalam badan. Halia juga membantu untuk membuang kahak yang berada dalam badan dan juga dapat mengurangkan pedih pada tekak. Campuran pudina segar bersama halia dapat bantu menghilangkan gatal pada kerongkong yang menyebabkan terjadinya batuk. Apa yang anda perlukan adalah halia yang di rendam bersama beberapa helai daun pudina di dalam segelas air panas dan dicampurkan dengan sedikit madu. Minum dua kali sehari dan anda akan alami perbezaan setelah meminum air campuran halia tersebut.


AIR GARAM


Petua ini membantu melegakan keradangan tekak yang menyebabkan batuk yang berpanjangan dan membantu mengeluarkan kahak di tekak. Anda hanya perlu mengambil segalas air suam dan sesudu teh garam, kacau sehingga larut. Kumur air garam tersebut selama 15 saat sebanyak tiga kali sehari. Amal petua ini bagi menghilangkan batuk secara beransur-ansur sehingga batuk tersebut sembuh. Biasanya cara ini sangat membantu untuk menghilangkan batuk anda.

*Ambil perhatian bahawa kanak-kanak di bawah umur 6 tidak sesuai untuk menggunakan kaedah berkumur ini kerana bimbang mereka akan tertelan air garam dalam jumlah yang banyak.


BUAH ASAM JAWA


Buah asam jawa memang terkenal dalam campuran masakan melayu, tetapi ia juga mengandungi khasiat yang boleh membuatkan tekak anda berasa lega. Apa yang perlu anda lakukan adalah dengan mencampurkan dua sudu asam jawa ke dalam segelas air suam. Kacau sehingga ia menjadi seba dan kemudian tapis air asam jawa tersebut untuk membuang biji dan seratnya.

Meminum air asam jawa ini bukan sahaja boleh membuatkan tekak anda terasa nyaman malahan ia boleh menyejukkan badan kita. Minum air asam jawa dua kali sehari untuk kesan menakjubkan walaupun rasanya agak masam.

Petua ini terpakai bagi BUAH ASAM JAWA bukannya ASAM JAWA yang diekstrak.


AIS KRIM VANILLA


Aiskrim vanilla dipercayai dapat mengurangkan keradangan seterusnya mengurangkan sakit tekak kerana ia menyebabkan tekak terasa lebih selesa dan merehatkan sel otot disekitar tekak.

Aiskrim sifatnya sejuk apabila anda menelan aiskrim tekak anda akan berasa begitu selesa. (Jangan pula anda memakan ais batu kerana ia akan membuat batuk anda bertambah teruk lagi) Jika anda tidak berselera untuk memakan makanan yang berat akibat batuk dan sakit tekak. Jangan bimbang kerana dengan memakan aiskrim ia mampu untuk memberi tenaga tambahan kepada diri anda kerana (aiskrim yang dimakan dalam jumlah yang terkawal)


BAWANG PUTIH


Bawang putih juga merupakan antara petua tradisional untuk melegakan masalah batuk. Petua ini amat mudah, anda perlukan satu labu bawang putih bersama kulitnya dan dibakar terus di dapur gas rumah anda selama 15 minit. Kupaskan bawang putih tersebut pastikan ia tidak terbakar sehingga menjadi hangit dan rentung. Buang kulit bawang tersebut dan makan ia begitu sahaja. 

Jika anda tidak berselera memakan bawang putih tersebut, anda juga boleh menumbuk bawang putih yang telah dibakar tersebut dan digaul bersama minyak zaitun. Sapukan pada bahagian leher anda sekerap yang mungkin. 


AIR PUTIH SEJUK


Air merupakan sumber kehidupan yang sangat penting untuk kehidupan manusia. Kekurangan cecair di dalam badan anda boleh menyebabkan terjadinya pelbagai masalah kesihatan iaitu seperti tekak menjadi kering dan tidak selesa. Salah satu ubat sakit tekak semulajadi yang teramat mudah dan sangat penting adalah air putih. Air putih akan membantu anda untuk mencairkan kahak dalam tekak, serta membuat dinding saluran tekak sentiasa lembap. 




Petua BONUS:


DOKTOR


Selebihnya anda perlulah mendapatkan nasihat doktor sekiranya batuk anda tidak berkurangan memandangkan ada beberapa penyakit/virus yang sering menyerang sistem penafasan manusia dewasa kini.

Anda juga boleh merawat batuk yang terjadi akibat alahan dan selsema dengan mendapatkan ubat yang bersesuaian di farmasi atau klinik berdekatan. 

Dan tidak lupa untuk berdoa supaya sakit cepat sembuh.








Tuesday, July 23, 2019

Malaysia Lumpuh Jika Diserang Singapura?


Boleh ke Singapura lumpuhkan Malaysia secara ofensif ketenteraan dalam masa enam ke sepuluh jam? Ya dan tidak. 


Ya. Singapura mampu berbuat demikian jika sekiranya mereka memulakan serangan dahulu dan secara mengejut. Seperti mana Israel menyagat Mesir secara praemptif satu masa dahulu ketika Perang Arab-Israel. Jika serangan tersebut dibuat tanpa amaran maka ya. Ia juga akan berlaku jika Singapura ditabdir pemimpin gila-segila Soekarno yang mentadbir Indonesia dahulu. 

Pastinya, mereka akan menggunakan sepenuhnya kuasa udara untuk melaksanakan serangan udara keatas pangkalan-pangkalan tentera, pangkalan udara dan lapangan terbang, pelabuhan, loji penapisan minyak dan gas, dan stesen janakuasa serta jambatan dan jaringan jalan darat serta rel serta rangkaian komunikasi. 

Ini adalah fasiliti utama yang akan dibedil terlebih dahulu melalui serangan udara, peluru berpandu jarak jauh atau dengan menggunakan artileri roket jarak jauh. Kelumpuhan berlaku bila mana serangan sedemikian dibuat di mana sasaran penting sebegini cukup untuk menidakkan bekalan elektrik, bahan api dan bekalan makanan serta ubatan bukan sahaja untuk rakyat malah pasukan tentera kita sendiri akan sukar untuk diaturgerak dan melaksana gerakan balas. 

Keunggulan kuasa udara Singapura tidak boleh dipandang enteng dan dipandang rendah. Negara kota tersebut dilengkapi sejumlah lebih 50 pesawat tempur dan pesawat pejuang berserta pesawat sokongan lain seperti pesawat penangki, pesawat kawalan dan perintah dan pesawat kawalan dan amaran awal udara yang menjadi antara aset tunjang penguasaan udara yang unggul. 

Tidak hairanlah ia menjadikan Singapura angkatan udara paling moden dan paling berkuasa dirantau sebelah sini. Itu tidak termasuk pesawat yang ditempatkan di luar negara sepeeti Thailand dan Taiwan. 

Ya, Singapura menempatkan pecahan skuadron udara mereka diluar negara dan ia bukan rahsia malah dibuat secara terang terangan atas dasar latihan bersama – memenuhi kekangan yang dihadapi Singapura dari segi keluasan tanah yang ada. Walau bagaimanapun lumpuh ini bermaksud bukanlah Malaysia kita kalah sepenuhnya dan hilang wilayah cumanya keupayaan ketenteraan konvensional dan kelengkapan dan fasilitas sokongan logistik dan perekonomian seperti stesen janakuasa, rel dan lebuhraya serta pelabuhan dan lapangan terbang sahaja yang dilumpuhkan dan dimusnahkan. Ini akan berlaku dalam enam jam pertama.

Fasa kedua selepas serangan udara memerlukan penguasaan wilayah darat sebagai zon penampan konik. Ini memerlukan masa lebih dari 10 jam dan barangkali ia boleh berlanjutan sehingga berdekad lamanya. Dan walaupun lumpuh, pasukan bersenjata kita masih mampu memberikan tentangan hebat keatas penceroboh. 

Itu jawapan bagi ya. 




Jawapan "Tidak".


Tetapi serangan mengejut sedemikian agak sukar untuk berlaku pada masa dan ketika kedua dua angkatan bersenjata Malaysia dan Singapura saling bekerjasama untuk mengelakkan konik dan salah faham tindakan ketenteraan. Kerana itu adanya Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa (Five Powers Defence Arrangement) untuk mengelakkan keadaan sedemikian. 

Realitinya jika dahulu pasti Malaysia bakal lumpuh dalam masa enam ke sepuluh jam pertama melalui serangan mengejut dan pra emptif kerana angkatan bersenjata Malaysia masih dalam proses perubahan dari doktrin melawan insurgensi kepada konvensional, tetapi kini Singapura tidak lagi memiliki kelebihan sedemikian disebabkan adanya keupayaan serang balas konvensional yang setara dari Malaysia. Tindakbalas kita juga setara dalam enam jam pertama. 

Jika Malaysia lumpuh dalam masa enam jam, Singapura akan turut sama mengalami keadaan yang sama dalam enam jam tersebut pada masa sekarang. Apa saja serangan yang dibuat terhadap kita akan dibalas serentak dari pihak kita. Pelabuhan dengan pelabuhan. Kapal dengan kapal. Stesen janakuasa dengan stesen janakuasa. Lapangan terbang dengan lapangan terbang. 

Lantas ia akan menjadi konik yang memperlihatkan siapa yang mampu bertahan lebih lama dengan keadaan perekonomi yang sudah lumpuh. Siapa mampu meneruskan perang dalam kelumpuhan tersebut. 

Walaupun angkatan udara kita tidak unggul dari segi jumlah tetapi ia cukup untuk menggerunkan musuh. Keupayaan angkatan udara kita cukup untuk mewujudkan pariti penguasaan udara walaupun tidak mencapai superioriti. 


Walaupun pada waktu konik tersebut pasukan konvensional kita lumpuh tetapi pasukan kita yang bertempur secara asimetrikal dan insurgensi sama ada dalam zon konik atau di Singapura sendiri adalah masih utuh dan sejarah konik globaltelah membuktikan kuasa pertempuran insurgensi dan tidak simetri ini paling sukar dan paling getir untuk diatasi walaupun dengan kecanggihan persenjataan dan penguasaan udara sepenuhnya. 

Apa pula kuasa insurgensi dan tidak simetri ini datang dari kelompok asal tentera dan pasukan khusus yang masih aktif dan masih mampu melawan. Dari enam jam ia boleh melarat sehingga puluhan tahun. 

Perang antara Malaysia dan Singapura sebenarnya adalah momokan yang dimainkan pemimpin terdahulu kedua-dua negara. Masing-masing menjadikan tetangga sebagai boogeyman untuk meraih sokongan nasional dari kalangan rakyat. Untuk kedua dua negara saling menjerumus ke kancah perang konvensional adalah sangat merugikan kerana kedua dua negara mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. 

Melainkan kedua dua pihak sudah gila maka ya konik akan tercetus tetapi selagi ada pemimpin yang rasional dan masing-masing boleh bawa perbezaan dan perselisihan ke meja rundingan maka agak sukar untuk kita terjerumus kedalam konik bersenjata. Kalau perang pun, yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu. 

Ibaratnya kekuatan militer dan diplomasi kedua negara ini adalah bagaikan: Singapura adalah seperti pedang “rapier” – ringan dan lincah serta pantas tetapi mudah lentur dan boleh patah kalau tidak kena gaya. Manakala Malaysia adalah seperti pedang “broadsword” – lebih berat dan sukar dikendali malah tidak lincah, tetapi ia lebih kuat dan lebih tahan asakan. 

Saturday, July 20, 2019

Bagaimana Piramid Mesir Dibina?! [Video]

Teori :  Bagaimana Piramid Mesir Dibina Mesir merupakan sebuah negara yang kaya dengan nilai sejarahnya dari tamadun Mesir Purba hinggala...